Wednesday 4 March 2015

KAEDAH PEMBELAJARAN DI SBJK, SANTAI MEMBUATKAN MURID BERASA SERONOK DAN BERJAYA MENARIK MINAT MEREKA UNTUK BELAJAR BERSUNGGUH-SUNGGUH

BIARPUN hidup dalam keadaan serba kekurangan dan disisih oleh masyarakat, tetapi keadaan itu tidak pernah mematahkan semangat murid Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) Chow Kit, Kuala Lumpur.
Sokongan kuat dan suntikan motivasi diberikan oleh warga pendidik sekolah itu menjadikan sema­ngat mereka lebih kental dan mampu menonjolkan bakat atau keistimewaan yang ada.



KAEDAH pembelajaran di Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih, Kuala Lumpur yang bercorak santai membuatkan murid berasa seronok dan berjaya menarik minat mereka untuk belajar bersungguh-sungguh.
Salah seorang muridnya, Firdaus Abdullah, 13, baru menyambung semula pembelajarannya di sekolah itu setelah hampir seminggu tidak hadir bersama-sama dengan dua lagi adiknya berusia 10 dan tujuh tahun akibat kesempitan hidup.
Remaja itu bersama-sama ibunya dan lima lagi adik-beradik yang lain terpaksa tinggal di bawah jambatan setelah diusir daripada rumah sewa.
Sepanjang tempoh seminggu, Firdaus terpaksa mencari kotak untuk mendapatkan wang perbelanjaan harian dan kelaparan memaksa keluarga itu mengunjungi ke sekolah berkenaan yang menyediakan kemudahan makanan percuma untuk muridnya.
Kesempitan hidup menyebabkan Firdaus tidak pernah mengikuti pembelajaran di sekolah biarpun mencapai usia remaja. Dia tidak tahu menulis dan mengira sebelum mengikuti pembelajaran di SBJK.

KASIH SAYANG SEORANG GURU TERHADAP ANAK MURIDNYA
“Di sekolah ini, saya berpeluang belajar dengan baik dan tidak mungkin mendapatkannya di luar, apa­tah lagi di rumah. Saya dapat belajar dan sudah pandai menulis nama sendiri hasil tunjuk ajar guru. Mereka bukan sahaja mengajar saya ilmu pengetahuan, malah memberi saya kasih sayang seperti keluarga sendiri.
“Walaupun saya daripada latar belakang keluarga yang berbeza dengan rakan lain di sekolah biasa, tetapi guru di sekolah ini tidak pernah memandang serong kepada saya. Mereka marah jika murid buat silap, tidak mendengar kata, namun teguran guru itu adalah de­ngan penuh kasih sayang,” katanya.
Kata Firdaus, selain prihatin dengan masalah murid, guru itu juga sabar dalam mendidik mereka, malah ada yang sanggup tidur di sekolah pada waktu malam semata-mata mahu menyiapkan persiapan akti­viti pada keesokan harinya.
“Guru juga mengajar secara santai dan tidak terlalu memaksa atau menekan murid. Saya dapati belajar itu menyeronokkan dan keseronokan itu diperoleh hasil daripada inisiatif dan kesabaran guru dalam mendidik kami. Saya rasa pengorbanan mereka terlalu besar dan terima kasih cikgu kerana berusaha mendidik kami semua,” katanya.
Bagi Intan Natasha Isa, 16  guru bertanggungjawab menjadikan rutin hariannya di SBJK sebagai menyeronokkan dan tidak sehari pun dia mahu terlepas waktu pembelajaran biarpun pada waktu cuti persekolahan.
“Saya tidak sangka sekolah itu menyeronokkan kerana sebelum ini untuk ke sekolah banyak sahaja rintangannya tetapi bila memasuki SBJK, guru-guru amat baik me­layan kami dan saya seronok de­ngan kehidupan sekarang.
“Dahulu saya rasakan belajar itu sukar dan mustahil ada guru sebaik di SBJK. Mereka melayan kami seperti anak-anak sendiri, saya juga bebas untuk memeluk guru pada bila-bila masa dan sebab itu belajar itu menyeronokkan,” katanya.
Selain itu, menurut Azmi Ibrahim, 17, dia tidak menyangka mempunyai bakat terpendam dalam menghasilkan lukisan tampalan dalam masa yang singkat, hasil daripada didikan guru di SBJK.
Katanya, guru di sekolah itu berjaya mengetengahkan bakat murid dalam bidang tertentu dan hasil kesabaran guru terlibat, mereka dapat menggunakan bakat semula jadi yang dimiliki untuk keperluan profesion masa depan.
“Atas dorongan guru juga saya berhasrat untuk menyambung pelajaran di SBJK dan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tidak lama lagi,” katanya.

utusan

1 comment: