Wednesday 14 October 2015

Pada hari selasa ini bersamaan I Muharram 1437H kita akan bercuti sempena Awal Muharram. Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kita semua akan diingatkan pula dengan peristiwa hijrah Rasul.
Umat Islam telah menjadikan peristiwa hijrah Rasul sebagai permulaan tahun dalam kalendar Islam. Kerana itu, setiap kali tahun Islam disebut, ia akan dinyatakan dengan hijrah. Sebagai contoh: “tahun 1437H akan meninggalkan kita tidak lama lagi, dan tahun 1436H pula akan menyusul”. Huruf H yang diletakkan di hujung angka tahun itu adalah singkatan kepada hijrah, sebagaimana yang kita semua maklum.
Disebabkan permulaan tahun hijrah adalah pada bulan Muharram, mungkin ramai yang keliru dan menganggap bahawa hijrah Rasul berlaku pada 1hb Muharram.  Ini adalah perkara yang perlu diperbetulkan. Menurut para pengkaji Sirah Nabi s.a.w, hijrah berlaku dalam Bulan Rabi’ul Awwal, bukan Bulan Muharram.
Ini disebut dalam pelbagai riwayat. Sebuah karya kajian sirah Nabi s.a.w yang mendapat anugerah dan pengiktirafan besar dalam dunia Islam iaitu al-Rahiq al-Makhtum karangan al-Syeikh al-Mubarakfuri telah menyimpulkan bahawa Nabi s.a.w keluar dari rumah baginda ke rumah Abu Bakar al-Siddiq pada malam 28 haribulan Safar, tahun ke empat belas selepas menjadi rasul. Dari situ, baginda bersama Abu Bakar ke Gua Thur. Mereka berdua berada dalam gua tersebut selama tiga malam. Pada hari pertama bulan Rabiul Awwal baginda dan Abu Bakar keluar dari Gua Thur lalu memulakan hijrah ke Yathrib (Madinah). Mereka dipandu oleh Abdullah bin ‘Uraiqit. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal, Nabi s.a.w sampai ke Quba. Baginda berada di Quba selama empat hari dan mengasaskan Masjid Quba. Pada 12 Rabiul Awwal, selepas solat Jumaat, barulah baginda memasuki Yathrib yang kemudian dinamakan Madinah. Inilah kesimpulan yang diambil dari pelbagai riwayat serta catatan ahli sejarah dan hadis.
Sejarah Taqwim Islam
Dahulunya, orang Arab tidak mempunyai kiraan tahun. Mereka hanya mempunyai kiraan bulan dengan nama bulan seperti yang digunakan oleh umat Islam. Nama bulan-bulan hijrah kita hari ini diambil dari nama bulan-bulan ‘Arab. Cumanya, Arab tidak mempunyai kiraan tahun seperti mana bangsa Rumawi yang mempunyai kiraan tahun masihi mereka.

Takwim Hijrah ialah kalendar yang berdasarkan bulan qamari dan disebut juga takwim atau kalendar Islam. Ia mengandungi 12 bulan iaitu Muharam, Safar, Rabiulawal, Rabiulakhir, Jamadilawal, Jamadilakhir, Rejab, Syaaban, Ramadan, Syawal, Zulkaedah dan Zulhijah.
Orang Arab sebelum Islam menggunakan tahun Qamariyah sejak zaman dahulu. Walau bagaimanapun mereka hanya merekodkan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku pada masa tersebut. Umpamanya ialah tarikh pembinaan Kaabah pada zaman Nabi Ibrahim dan Isma'il a.s. pada tahun 1855 S.M. dan tahun Gajah iaitu tahun yang paling masyhur bersamaan dengan tahun 571 M.
Orang Arab menamakan lima bulan dengan nama musim walaupun nama itu tidak lagi tepat sebagaimana yang kita alami sekarang. Contohnya Ramadhan yang berasal daripada al-Ramadha' bermaksud sangat panas, tidak selalunya jatuh pada musim panas. Begitu juga dua Jamad (Jamadilula/Jamadilawal dan Jamadilakhir) tidak selalunya jatuh pada musim sejuk walaupun Jamad bermaksud beku.

Muharam pula dinamakan demikian kerana ia merupakan salah satu bulan yang diharamkan berperang dan Safar pula ertinya kosong, kerana isi negeri menjadi kosong disebabkan penduduknya keluar berperang selepas Muharam. Rabiulawal dan Rabiulakhir dinamakan demikian kerana kedua-duanya jatuh pada musim bunga (Rabi') waktu nama tersebut diberikan. Rejab pula ertinya bulan yang dihormati, kerana mereka menghormatinya dengan meninggalkan peperangan, oleh itu ia termasuk di dalam salah satu bulan haram.

Syaaban (bercabang) pula mendapat namanya kerana kabilah-kabilah Arab berpecah dan bercabang untuk berperang setelah duduk diam pada bulan Rejab. Dinamakan bulan Syawal kerana pada bulan itu unta mengangkat ekornya kerana hendak mengawan, berasal daripada akar kata syala (meng angkat). Zulkaedah ertinya duduk, iaitu bulan yang mereka duduk di rumah tanpa peperangan. Zulhijjah pula diambil namanya daripada perkataan hajj (bulan Haji).
Selepas berdirinya negara Islam pada zaman Rasullullah S.A.W., tahun Qamariyah masih diteruskan tetapi tidak ditetapkan tahun-tahunnya. Oleh itu kaum muslimin memberi nama tahun-tahun itu dengan nama peristiwa besar yang terjadi di dalamnya. Antaranya ialah tahun pertama (Tahun al-Izn) iaitu izin hijrah dari Makkah ke Madinah, tahun kedua (Tahun al-Amr) iaitu tahun diperintahkan memerangi kaum musyrikin dan akhirnya tahun kesepuluh yang dikenali sebagai tahun al-Wada' iaitu tahun haji al-Wada' atau haji terakhir yang dilakukan oleh Nabi Muhammad S.A.W.
Peristiwa semasa pemerintahan khalifah 'Umar bin al-Khattab merupakan titik tolak perubahan takwim hijrah dimana khalifah 'Umar telah mengumpulkan beberapa orang sahabat pada hari Rabu 20 Jamadilakhir tahun 17 Hijrah bagi menentukan tarikh yang patut diambil sebagai permulaan tahun Islam.
Terdapat banyak faktor yang mendorong Saidina Umar menentukan tarikh, antaranya ialah kerana kerana Saidina Umar menerima satu surat tentang pengumpulan harta, dan ia bertulis pada bulan Sya'ban. Beliau bertanya: Sya'ban yang mana satu, Sya'ban yang lepas, atau Sya'ban sekarang, atau Sya'ban akan datang?

Ada juga yang menyatakan bahawa orang pertama yang menulis tentang tarikh ialah Ya'la bin Umayyah r.a.. Beliau telah menulis surat dari Yaman, kepada Saidina Umar dengan menulis tarikh, dan Saidina Umar menganggap baik perkara tersebut, akhirnya beliau ingin memulakan penentuan tarikh. Antara faktornya juga ialah Abu Musa al-Asy'ari telah menulis satu surat kepada Saidina Umar, menyatakan bahawa telah sampai kepada beliau banyak surat-surat daripada Saidina Umar tanpa tarikh (dan ini boleh menimbulkan kekeliruan). Lalu Saidina Umar mengumpulkan para sahabat untuk membincangkan tentang penentuan tarikh.
Hasil dari perjumpaan tersebut mereka telah mengenalpasti empat peristiwa agong yang penting yang patut dijadikan tanda perkiraan takwim Islam :
1.    Hari Kelahiran Nabi SAW
2.    Hari Perutusan Nabi SAW
3.    Penghijrahan Nabi SAW dari Mekah ke Madinah
4.    Tarikh kewafatan Nabi SAW

Selepas kajian rapi, didapati cadangan pertama dan kedua tidak boleh diterima kerana ketepatan kedua-dua tarikh tersebut tidak dapat dikenalpasti disebabkan terdapat beberapa tarikh yang berbeza dan sukar untuk dikenalpasti. Cadangan yang keempat juga tidak sesuai kerana ianya merupakan tarikh kewafatan Nabi Muhammad SAW yang membawa kenangan yang pedih.
Dalam perbincangan tersebut pendapat 'Ali ibn Abi Talib diterima dengan mengemukakan cadangan supaya menjadikan Hijrah Nabi Muhammad S.A.W. dari Makkah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam.
Kemudian timbul pula persoalan bulan manakah patut dijadikan bulan pertama. Pelbagai cadangan diberikan, termasuk bulan Ramadan.  Namun, Amirul Mukminin ‘Umar bin al-Khattab r.a menolaknya kemudian memilih untuk bersetuju dengan pandangan Uthman menjadikan Muharam sebagai bulan pertama dalam sejarah Islam. [Keputusan ini dibuat secara Ijmak para Sahabat si zaman tersebut, justeru, tidak lagi boleh dipertikaikan atau diubah melainkan dengan satu Ijmak pada zaman selepasnya].
Kerana inilah, bila timbulnya pelbagai pendapat tentang bilakah asas yang sesuai untuk dimulakan tarikh, Saidina Umar menyatakan kata-katanya yang masyhur,

الهجرة فرقت بين الحق والباطل، فأرخوا بها

“ Hijrahlah yang membezakan antara kebenaran dan kebatilan. Maka jadikanlah ia asas permulaan tarikh ”.
Sejarahwan besar al-Hafizd al-Imam Ibn Kathir (w. 774H) menyebut dalam karya sejarahnya al-Bidayah wa al-Nihayah:
Kata Muhammad bin Sirin: Seorang lelaki datang kepada Umar dan berkata: “Tetapkan tarikh seperti mana orang bukan arab lakukan dengan menulis pada bulan tertentu dan tahun tertentu”. Jawab Umar: “Cadangan yang baik”. Mereka berkata: “Tahun bila kita hendak mulakan?”. Ada yang mencadangkan tahun kebangkitan Nabi s.a.w, ada pula cadangan tahun kewafatan dan lain-lain. Lalu mereka bersetuju tahun baginda berhijrah. Lalu mereka bertanya lagi: “Bulan manakah hendak kita mulakan?”. Ada yang mencadangkan Ramadan. Ada yang mencadangkan “Muharram kerana ia bulan yang orangramai baru sahaja selesai menunaikan haji dan ia juga termasuk dalam bulan-bulan haram”. Lalu mereka pun bersetuju menjadikan bulan Muharram bulan yang pertama. (al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/252, Beirut: Dar al-Fikr).


Amalan
Setelah kita jelas tentang latar penetapan tahun hijrah, iaitu ia berlaku pada zaman Saidina Umar bin al-Khattab r.a bukan pada zaman Rasulullah s.a.w, maka sudah pastilah tiada apa-apa upacara ibadah khusus –sama ada solat khusus, atau puasa khusus atau bacaan khusus- yang Nabi s.a.w lakukan sempena tahun baru hijrah kerana kiraan tahun baru hijrah belum bermula pada zaman baginda.
Pada zaman Umar dan khalifah-khalifah selepas Umar juga tiada sebarang upacara ibadah khusus sempena kedatangan tahun baru hijrah. Sebaik-baik petunjuk dalam ibadah ialah petunjuk Nabi s.a.w dan al-Khalafa al-Rasyidin.

Dalam menghadapi tahun baru hijriyah atau bulan Muharram, sebagian kaum muslimin salah dalam menyikapinya. Bila tahun baru Masehi disambut begitu megah dan meriah, maka mengapa kita selaku umat Islam tidak menyambut tahun baru Islam semeriah tahun baru masehi dengan perayaan atau pun amalan? Niat sebegini tidak boleh menjadi objektif sambutan kerana Sabda Rasulullah saw.

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

”Barangsiapa yang menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk bagian dari mereka”
Di samping itu, terdapat amalan-amalan lain yang dilakukan sempena menyambut awal tahun Hijriyyah iaitu seperti:-
Amalan Pertama: Do’a awal dan akhir tahun. Amalan seperti ini sebenarnya tidak ada tuntunannya sama sekali. Amalan ini tidak pernah dilakukan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, para sahabat, tabi’in dan ulama-ulama besar lainnya. Namun selagi ia merupakan doa yang tidak bercanggah dengan al-Quran dan al-Sunnah, maka ianya adalah sesuatu yang baik untuk umat Islam. Hal ini adalah kerana doa merupakan sesuatu yang sepatutnya dijadikan amalan harian sama ada pada awal tahun, pertengahan tahun, hujung tahun atau pada bila-bila masa sahaja.

Amalan kedua: Puasa awal dan akhir tahun. Ini disandarkan kepada sepotong hadis yang berbunyi, “Barang siapa yang berpuasa sehari pada akhir dari bulan Dzuhijjah dan puasa sehari pada awal dari bulan Muharram, maka ia sungguh-sungguh telah menutup tahun yang lalu dengan puasa dan membuka tahun yang akan datang dengan puasa. Dan Allah ta'ala menjadikan kaffarot/tertutup dosanya selama 50 tahun.”.
Ulama seperti  Adz Dzahabi dalam Tartib Al Mawdhu’at, Asy Syaukani dalam Al Fawa-id Al Majmu’ah dan Ibnul Jauzi dalam Mawdhu’at telah membuat rumusan bahawa Kesimpulannya bahawa periwayatnya Al Juwaibari dan Wahb adalah pendusta hadith. Kesimpulannya hadis menceritakan keutamaan puasa awal dan akhir tahun adalah hadits yang lemah yang tidak boleh dijadikan dalil dalam amalan. Sehingga tidak perlu mengkhususkan puasa pada awal dan akhir tahun karena hadithnya jelas-jelas lemah.
Amalan Ketiga: Memeriahkan Tahun Baru Hijriyah. Penyambutan tahun hijriyah tidak pernah dicontohkan oleh Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, Abu Bakr, ‘Umar, ‘Utsman, ‘Ali, para sahabat lainnya, para tabi’in dan para ulama sesudahnya.
Awal tahun Hijrah telah dimasukkan di dalam salah satu syiar yang disambut secara khusus oleh umat Islam setiap kali ia menjelang dengan sambutan yang bercorak keagamaan dengan berbagai-bagai acara, semata-mata untuk menghidupkan semangat hijrah bagi Nabi Muhammad Shallallahu 'alaihi wasallam.
Di antara sambutan-sambutan itu ialah mengadakan majlis-majlis sambutan awal tahun Hijrah yang diisi dengan acara-acara seperti memberi penghargaan kepada orang-orang yang berjasa terhadap agama dan ummah, ucapan, syarahan, bahkan dengan mengadakan majlis membaca doa akhir tahun dan awal tahun Hijrah yang dikaitkan dengan peristiwa tersebut yang kesemuanya berbentuk kebajikan yang boleh membawa kepada mendapatkan pahala.
Penghayatan
Setiap hari, setiap waktu umur kita bertambah atau meningkat. Sama ada memasuki tahun baru atau tidak, hayat kita tetap bertambah singkat dan ajal semakin dekat. Setiap kita disuruh untuk berazam ke arah yang lebih baik, samada menjelang atau belum tahun yang baru. Itulah kehidupan dan jiwa seorang muslim. Masa tidak selalu menunggu kita. Kabaikan jangan ditangguh, keburukan jangan ditanggung. Jangan menunggu tahun baru untuk berubah kepada yang lebih baik. Jangan menunggu tahun baru untuk meninggalkan keburukan. Itulah jalan hidup yang patut kita fahami dan hayati. Itu sikap golongan soleh sepanjang zaman. Mereka sentiasa memohon kebaikan dan sentiasa beristighfar kepada Allah.

Jika tahun baru hendak diingati atau dihayati, mungkin di sudut kedatangan tahun baru boleh menjadi pemangkin semangat dan azam. Membantu penilaian dan perancangan. Maka, ia akan menggalakkan kita memuhasabah diri; apakah kejayaan amalan baik atau dosa yang telah kita lalui tahun lalu? Juga, yang penting apakah perancangan dan azam kebaikan bagi kalendar yang akan datang. Maka kita pun berazam ke arah prestasi yang lebih baik.
Disampaikan di hadapan rakan-rakan
25.11.2011

No comments:

Post a Comment