KONSEP PENDIDIKAN ANAK-ANAK DARI PERSPEKTIF ISLAM
1.0 MUQADDIMAH
Anak-anak yang dilahirkan merupakan satu ujian
Allah SWT kepada kita. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam
al-Quran yang berbunyi :
Maksudnya “Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu
dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian dan sesungguhnya di sisi Allah
jualah pahala yang besar.” (Al-Anfal : 28).
Allah SWT telah menjelaskan kepada kita dalam
ayat ini bahawa harta benda dan anak-anak yang kita sayangi ini merupakan satu
ujian kepada kita. Jika harta benda yang kita perolehi dengan secara yang halal
dan menggunakan ke jalan yang halal maka beroleh ganjaran yang besar daripada
Allah SWT. Dalam ayat ini juga Allah SWT telah menyebut anak-anak juga
merupakan ujian kepada orang yang beriman. Jika anak-anak yang kita didik
mengikut acuan Islam, maka kita akan beroleh ganjaran yang besar hasil ketaatan
mereka.
2.0 PENDORONG TABIAT MANUSIA
DARI PERSPEKTIF ISLAM DAN BARAT
Pakar psikologi kaunseling membuat pelbagai teori
bagi menjelaskan pembentukan tabiat manusia seperti berikut:
1. Teori
Psikoanalisis yang diasaskan oleh Frued. Teori ini menyatakan tabiat manusia
pada asalnya jahat kerana dipengaruhi oleh unsur-unsur rangsangan seksual,
kuasa agresif dan tidak rasional yang wujud dalam diri manusia bagi tujuan
menjaga survival perkembangan hidupnya. Unsur-unsur itu bertindak di dalam diri
manusia secara membabi buta (tidak sedar). Kombinasi unsur-unsur itu dan
konflik hidup semasa kecil yang tidak dapat diselesaikan pada masa itu akan
menjadi punca dan penentu tabiat anak pada masa hadapan.
2. Teori
Analisis Transaksi. Teori ini menerangkan tabiat manusia terbentuk hasil
daripada skrip hidup yang ditentukan oleh ibu bapa. Semasa kecil anak akan
merakamkan secara langsung apa saja percakapan dan perbuatan yang ditayangkan
oleh ibu bapa kepada mereka. Konflik akan berlaku apabila anak itu cuba menilai
semula skrip hidup yang lama atau menerbitkan skrip hidup yang baru hasil
daripada perkembangan emosi fikirannya dan pengaruh persekitaran.
3. Teori
Behaviorisma. Menurut teori ini tabiat dan tingkah laku manusia terbentuk hasil
daripada proses pembelajaran dan evolusi persekitaran. Tabiat manusia menjadi
masalah apabila mereka menerima pembelajaran dan persekitaran yang salah,
walaupun mereka sendiri yang mencipta sistem pembelajaran atau membentuk persekitaran.
4. Teori
Pemusatan Klien. Teori ini membuat andaian bahawa tabiat manusia semula jadinya
baik, rasional, bertanggungjawab dan berusaha mencapai kesempurnaan diri. Walau
bagaimanapun manusia juga cenderung menjadi kecewa dan bermasalah apabila keperluan
mencapai kesempurnaan diri dihalang seperti gagal mendapat kasih sayang,
keselamatan dan seumpamanya.
5. Dari
perspektif Islam. Terdapat empat peringkat nafsu yang mempengaruhi tabiat
manusia iaitu:
a)
Nafsu Ammarah: Nafsu yang sentiasa
mendorong manusia melakukan kejahatan. Bagi mereka yang berada
diperingkat ini tidak merasakan perbezaan antara yang baik dan jahat. Apabila
melakukan kejahatan, ia tidak menyesal dan sebaliknya juga apabila melakukan
kebaikan, ia tidak gembira.
b)
Nafsu Lawwamah: Nafsu yang mula
menunjukkan kelemahan diri, menilai tabiat masa lampau dan ingin keluar untuk
memulakan kehidupan positif.
c) Nafsu Mulhamah: Nafsu yang sudah menerima kebenaran dan
keinsafan serta merasa keseronokan membuat kebaikan dan benci kepada kejahatan.
d) Nafsu Mutmainnah: Nafsu yang mencapai kedamaian dan kebahagiaan.
Nafsu ini berusaha terus meningkatkan keimanan & ketaqwaan dalam dirinya.
Pada prinsipnya nafsu itu adalah mewakili dua
keperluan naluri manusia iaitu naluri kehaiwanan (jasmani) dan rohani (wahyu).
Kadang kala berlaku pertarungan sengit antara dua naluri itu untuk mempengaruhi
hati manusia.
Pandangan teori kaunseling barat tentang tabiat
manusia adalah sebahagian dari pandangan Islam. Mereka mengkaji tabiat manusia
dari aspek luaran sahaja dengan merujuk kepada faktor persekitaran, kemahiran
keibubapaan dan keperluan jasmani tanpa dibimbing oleh al-Quran serta kajian
itu dibuat berdasarkan kehidupan masyarakat di barat.
3.0 KEPENTINGAN PENDIDIKAN
AWAL ANAK-ANAK
Pendidikan perlu dilihat sebagai satu proses yang
berterusan berkembang serentak dengan perkembangan individu seorang kanak-kanak
yang mempelajari apa sahaja yang ada di persekitaran dan dengan ilmu/kemahiran
yang diperolehi ia akan mengaplikasikannya dalam konteks yang pelbagai samada
dalam kehidupan sehariannya di ketika itu ataupun sebagai persediaan untuk
kehidupannya di masa yang akan datang. Menurut perspektif Islam, pendidikan
anak adalah proses mendidik, mengasuh dan melatih rohani dan jasmani mereka
dengan berteraskan nilai baik dan terpuji yang bersumberkan al-Quran dan
al-Sunnah. Tujuannya adalah bagi melahirkan insan rabbani yang beriman,
bertakwa dan beramal soleh.
Kanak-kanak di peringkat awal umur, mereka tidak
dapat membezakan yang baik dan yang buruk dan perlu dibentuk dan dididik sejak
dari awal. Barat dan Islam mempunyai perspektif yang sama dalam hal ini, Apa
yang membezakan ialah Islam menekankan pembentukan sahsiah seseorang
kanak-kanak bukan hanya kelakuan fizikalnya tetapi pemantapan akhlak perlu
diterapkan seiring dengan penerapan keimanan di dalam ruh dan jiwanya. Kalau
sesuatu informasi yang diterima oleh seseorang kanak-kanak itu hanya di aras
pengetahuan tanpa adanya penyemaian aqidah dan pemantapan akhlak, akibatnya
generasi yang dihasilkan mungkin bijaksana dan tinggi tahap perkembangan
inteleknya tetapi dari aspek-aspek yang lain ia pincang dan tiada
keseimbangannya.
Jika inilah yang berlaku dalam dunia pendidikan
pada hari ini, dibimbangi sejarah lama akan berulang. Analisis fakta dari
perspektif sejarah telah cukup membuktikan bahawa kehancuran tamadun manusia
contohnya Mesir, Greek, Rom dan Parsi adalah berpunca dari gagalnya penerapan
nilai-nilai akhlak murni kepada generasi pewaris dan kontangnya penghayatan
untuk diaplikasikan dalam kehidupan.
Pembangunan perindustrian pesat dalam era
globalisasi yang berlaku dalam dunia hari ini telah meningkatkan cabaran
membentuk generasi akan datang khasnya bagi ibubapa dan pendidik Muslim. Dalam
menempuh alam cyber dan teknologi maklumat tidak dapat dinafikan pembangunan
insan dan pembinaan generasi perlu dititikberatkan selari dengan keprihatinan
terhadap kepesatan kemajuan negara. Ini kerana kanak-kanak merupakan aset
penting bagi pembinaan sesuatu bangsa dan ketinggian maruah agama. Mereka
adalah generasi pewaris yang bakal menjana wawasan dan mencorak masa depan
sesebuah negara pada alaf yang akan datang. Mereka bakal menjadi pemimpin ummah
dan mencorak keunggulan Islam sebagai agama sejagat.
Kajian yang dilakukan di Amerika Syarikat
misalnya menunjukkan bahawa setiap nilai dolar yang dilaburkan untuk pendidikan
awal yang berkualiti tinggi dapat memberikan pulangan yang tinggi samada dari
segi perkembangan ekonomi mahupun perkembangan sosial kehidupan masyarakat di
negara tersebut. Manakala Jepun, negara yang suatu ketika dahulu pernah lumpuh
akibat ledakan bom atom, dalam jangkamasa yang tak sampai setengah abad mampu
bangun menjadi tunggak ekonomi dunia.
Satu kajian yang dilakukan oleh seorang
penyelidik Barat mendapati bahawa pembinaan pemikiran masyarakat Jepun berpunca
dari keprihatinan dan kepekaan pemimpin dan rakyat negara itu terhadap
pembentukan generasi awal. Masyarakat Jepun telah menyediakan generasi mereka
dengan daya ketahanan menghadapi cabaran dari aspek fizikal dan mental, dan
mereka juga bertungkus lumus menumpukan perhatian membina daya keintelektualan
dan menggarap potensi semulajadi setiap individu kanak-kanak sejak dari
peringkat awal perkembangan. Justeru itu boleh dikatakan di sini bawa
ketinggian kualiti pendedahan dan pendidikan awal seseorang kanak-kanak
merupakan asas kepada keseluruhan perkembangannya yang akan datang.
4.0 TANGGUNGJAWAB MENDIDIK
ANAK MENURUT ISLAM
Anak adalah anugerah Allah yang tidak ternilai
kepada kedua ibu bapa. Sebagai ibu bapa, seharusnya mereka mengambil berat
pendidikan anak demi memastikan kehidupan mereka sentiasa berada dalam
keredhaan Allah SWT. Falsafah pendidikan Islam sememangnya menekankan aspek
rohani dan jasmani sesuai dengan kejadian manusia itu sendiri yang terdiri
daripada roh dan jasad. Ia membabitkan beberapa peringkat bermula dari dalam
kandungan sehingga lahir dan menjadi dewasa.
Sekiranya setiap suami isteri menghayati dan
mempraktikkan nilai keislaman dalam kehidupan keluarganya, mudahlah mereka
mendidik anak dengan benih ajaran Islam. Sebaliknya, jika pasangan itu gagal
menerapkan nilai Islam dan mengekalkan kerukunan rumah tangga, amat sukar bagi
mereka untuk mentarbiah anak mengikut acuan dan budaya hidup Islam.
Satu hal yang amat penting dan wajar diberi
perhatian kepada ibubapa hari ini ialah mesti mengetahui cabaran yang
menghalang anak-anak mereka taat kepada Allah SWT. Didikan ibubapa di rumah
masih tidak menjamin anaknya menjadi taat kepada Allah SWT. Memang benar ibu
bapa ada memberi didikan agama pada anak-anak mereka tetapi adakah didikan itu
mencukupi dan diberi secara menyeluruh?
Hari ini, rangkaian televisyen, internet, bahan
bacaan dan lain-lain sumber ilmu pengetahuan kebanyakkannya tidak menjurus
kepada ketaatan. Adakah ini punca terjadi peningkatan perbuatan negatif oleh
generasi muda kita? Siapakah yang bersalah? Orang tua, guru atau pelajar itu
sendiri? Persoalan ini telah menjadi isu kepada kita hari ini. Ibubapa hari ini
begitu gelisah dengan keadaan semasa anak-anak mereka. Anak-anak mereka
berpeleseran tanpa hala tujuan. Suka hiburan daripada buat kerja sekolah
ataupun menolong kedua-ibu bapa. Lebih rapat dengan kawan berbanding keluarga
sendiri.
Bagi menjawab persoalan-persoalan ini, seharusnya
kita merenung dan mendalami punca kerosakan dan kaedah penyelesaian melalui
sistem pendidikan anak yang diajarkan dalam Islam.
5.0 PUNCA KENAKALAN ANAK
1. Faktor keluarga
Akhlak anak bermula di rumah. Anak sejak kecil
dan sebahagian besar masanya berada dalam lingkungan keluarga. Ini menunjukkan
perkembangan mental, fizikal dan sosial adalah di bawah kawalan ibu bapa atau
tertakluk kepada skrip hidup yang berlaku dalam sesebuah rumahtangga. Oleh yang
demikian jika anak remaja menjadi nakal atau liar maka kemungkinan besar
puncanya adalah berasal dari pembawaan keluarga itu sendiri. Isu pembawaan
keluarga itu ialah;
a) Status ekonomi ibu bapa yang rendah dan daif di mana anak
membesar dalam keadaan terbiar.
b) Kehidupan ibu bapa yang bergelumbang dengan maksiat.
c) Ibu bapa lebih mementingkan kerjaya atau pekerjaan daripada
menjaga kebajikan keluarga.
d) Rumahtangga yang tidak kukuh atau bercerai berai.
e) Syiar Islam tidak kukuh dalam rumahtangga.
2. Faktor Peribadi Yang Kotor
Peribadi yang kotor adalah
merujuk kepada seseorang yang rosak akhlaknya atau mempunyai sifat-sifat yang
keji (mazmumah) seperti pemarah, tamak, dengki, pendendam, panas baran,
sombong, tidak amanah dan seumpamanya. Keadaan ini berlaku kerana individu itu
telah dikuasai oleh naluri agresif dan tidak rasional (nafsu kehaiwanan), hasil
daripada pengalaman yang diterima sejak kecil dan kemudian diperkukuh pula bila
anak itu melalui zaman remaja. Dengan lain perkataan peribadi fitrah anak telah
terencat dan menjurus kepada peribadi yang kotor hasilnya.
3. Faktor sekolah
Sekolah merupakan tempat
memberi pengajaran dan pendidikan kedua kepada anak selepas ibu bapa. Akhir-akhir
ini ini dunia pendidikan kita pula tercabar melihat keadaan pelajar di
sekolah-sekolah yang melakukan pelbagai aktiviti yang tidak mencerminkan
keperibadian yang baik. Dahulu, sekolah dianggap satu tempat yang mulia di mana
pelajar bersungguh-sungguh menuntut ilmu untuk dijadikan bekalan pada masa
depan. Guru adalah pengganti orang tua yang terkadang dihormati melebihi hormat
seorang anak kepada ayahnya. Akan tetapi hari ini sekolah yang mulia itu ada
yang mula dibakar oleh pelajarnya, guru yang semestinya dicontohi kini diburu.
Daripada hati kecil kita timbul persoalan kenapa terjadi perubahan yang besar
di kalangan pelajar kita hari ini?
Mengikut kajian, faktor sekolah yang boleh
mempengaruhi anak ialah:
a) Disiplin sekolah yang longgar.
b) Ibu bapa tidak mengambil tahu kemajuan dan pencapaian anak di
sekolah.
c) Guru tidak mengambil tahu masalah yang dihadapi oleh
murid-murid.
4. Faktor Persekitaran
Dalam Islam, persekitaran
memiliki peranan yang penting dalam pendidikan anak sehingga wajarlah apabila
kita dianjurkan untuk melihat jiran di kawasan yang akan diduduki. Anak-anak
sangat mudah dipengaruhi oleh persekitarannya. Oleh sebab itu, tinggal di suatu
tempat dengan persekitaran yang baik adalah modal penting membentuk sahsiah
anak untuk menjadi generasi yang baik. Persekitaran yang baik ini bermakna
bukan hanya baik dari segi keadaan fizikal tapi juga baik dari segi mental dan
kehidupan beragama.
5.0 TARBIAH (PENDIDIKAN) ANAK
BERMULA DALAM KANDUNGAN
Rasulullah s.a.w. dalam satu hadisnya bersabda,
maksudnya:"Didiklah anak kamu 100 tahun sebelum dia dilahirkan."
Hadis ini amat singkat tetapi memiliki makna falsafah yang dalam sebab ungkapan
'seratus tahun sebelum lahir' ini bermakna jauh sebelum anak itu dilahirkan
oleh ibunya ke dunia ini. Pakar kesihatan dan ahli jiwa berpendapat bahawa
keadaan orang tuanya mempengaruhi sifat serta perilaku anak-anak yang akan
dilahirkan. Ini bermakna pendapat pakar itu dengan hadis Rasulullah s.a.w. di
atas sebenarnya sealiran. Ini kerana makna hakikat mendidik anak dalam hadis
Rasul itu adalah dengan cara mendidik diri setiap orang tua itu sendiri
terlebih dahulu dengan melakukan aktiviti-aktiviti kebajikan dan meninggalkan
semua bentuk maksiat.
Seorang ayah dan ibu kadang-kadang lupa dan leka
dengan menganggap perbuatan dan sikap mereka ketika ini tidak memiliki hubung
kait dengan masa depan anak-anak mereka. Padahal setiap orang tua sebenarnya
bukan hanya akan mewariskan harta kepada anak mereka tetapi juga akan
mewariskan sikap dan pandangan hidup.
Mungkin inilah yang dikatakan orang Arab dalam
salah satu syair: "Kaifama takun yakun abna'aka" yang bermakna
“bagaimana kamu hari ini, begitu pulalah anak-anakmu pada masa hadapan”.
Berdasarkan hal di atas, maka wajarlah Rasulullah
s.a.w. mengingatkan setiap orang yang akan bernikah supaya jangan salah memilih
pasangan. Dan Rasulullah memberikan empat alternatif bagi setiap muslim dalam
memilih jodoh berdasarkan sabdanya;
"Wanita dikahwini kerana empat perkara iaitu
kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah yang
beragama kerana ia lebih menguntungkan kamu (lebih utama)."(HR Bukhari,
Muslim & Abu Daud)
Sebelum kelahiran anak itu lagi, ibu bapa perlu
menyediakan tempat sesuai untuk mengasuh dan membesarkan anak sebaik-baiknya.
Ia memberi makna bahawa dunia pertama bagi seorang kanak-kanak adalah rumah ibu
bapanya sendiri. Bagi memastikan kesempurnaan dalam pendidikan anak, ibu bapa
perlu membentuk suasana yang harmoni dan bercirikan keislaman dalam kehidupan
berumahtangga. Ia boleh dilakukan sejak di awal perkahwinan lagi.
Secara umumnya, proses pendidikan bermula ketika
bayi berada dalam kandungan ibunya. Tarbiah pada peringkat ini lebih bercorak
kerohanian iaitu:-
i.
Bagi ibu yang sedang mengandung
amat digalakkan supaya memperbanyakkan bacaan al-Quran terutama surah Yusuf,
Maryam, Luqman dan At-Taubah. Ini kerana, surah itu mengandungi pelbagai
kelebihan dan maksud tersirat mempunyai makna yang besar dalam pentarbiahan
anak.
ii.
Ibu turut disarankan sentiasa
memperbanyakkan doa kepada Allah anak bakal dilahirkan itu nanti menjadi
seorang anak yang soleh, berilmu, berakhlak mulia dan taat kepada kedua ibu
bapanya. Ini penting untuk memastikan keluarga dibentuk sentiasa mendapat
rahmat dan keberkatan dari Allah.
Kita sepatutnya mengambil
contoh daripada doa Nabi Ibrahim AS. Ketika banginda berdoa dengan doa yang
difirmankan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang maksudnya; “Wahai Tuhanku!
Kurniakanlah kepadaku anak yang terhitung dari orang-orang yang soleh!”
[As-Shafaat :100]. Dengan berkat kesungguhan Nabi Ibrahim AS dan keyakinannya,
maka Allah SWT mengurniakan kepadanya anak yang penyabar iaitu Nabi Ismail AS
dengan firmanNya yang maksudnya;“Lalu Kami berikan kepadanya berita yang
menggembirakan, bahawa dia akan beroleh seorang anak yang penyabar” [As-Shafaat
: 101]
Banyak lagi khazanah doa para
nabi dan para waliyullah yang terkandung dalam al-Quran yang merupakan rahsia
utama kepada kunci berolehnya anak-anak yang soleh. Kepada ibu bapa dan bakal
bergelar ibu bapa doa amat memainkan peranan utama jika bekehendakkan anak yang
soleh dan solehah. Jadi sentiasalah amalkan doa sewaktu memilih pasangan hidup,
ketika bersama dengan isteri ataupun suami dan dalam semua pekerjaan.
iii.
Ibu bapa juga mesti memastikan
rezeki yang mereka peroleh datang daripada sumber yang halal dan bersih. Ini
amat mustahak kepada pembentukan dan pertumbuhan anak yang bakal dilahirkan
supaya ianya datang dari darah daging yang halal lagi berkat. Ia juga memberi
kesan kepada pembentukan peribadi anak apabila besar kelak.
iv.
Ibu hamil juga perlu memakan
makanan berzat dan sentiasa menjaga kesihatan tubuh badannya. Kebersihan diri
perlu diutamakan demi menjamin kesihatan anak dalam kandungan. Faktor kesihatan
amat dititikberatkan oleh Islam kepada ibu berada dalam keadaan sedemikian yang
sudah tentunya menghadapi pelbagai kesukaran dan kepayahan. Ini terbukti dengan
kelonggaran yang diberikan Islam untuk ibu mengandung untuk berbuka puasa (pada
Ramadan) sekiranya berasakan puasa itu menjejaskan kesihatan diri dan anaknya.
v.
Ketika tempoh masa mengandung
juga, ibu perlu menyesuaikan diri dengan perubahan berlaku ke atas dirinya.
Pada waktu sebegini juga sememangnya keadaan ibu agak berbeza daripada waktu
biasa. Antaranya mungkin kehilangan selera makan dan mudah sensitif. Pada
ketika ini suami hendaklah memahami keadaan isteri dengan sentiasa berada di
sisi dan memberi dorongan kuat kepadanya.
6.0 PENDIDIKAN SELEPAS
KELAHIRAN
6.1 AMALAN-AMALAN SUNAT
Demi mendapatkan anak-anak
yang soleh, Islam telah menganjurkan kepada ibu bapa untuk melakukan beberapa
amalan dari awal lagi. Islam telah menetapkan peraturan tertentu semasa
menyambut kelahiran bayi iaitu dengan melakukan amalan-amalan sunat seperti
berikut:
i.
AZAN DAN IQAMAT
Selepas anak selamat
dilahirkan, ia hendaklah segera diazankan ditelinga kanan dan diiqamat
ditelinga kiri sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang
baru melahirkan anaknya lalu diazankan di telinga kanan dan diiqamat di telinga
kirinya nescaya anak tersebut akan terhindar daripada penyakit sawan dan
angkara syaitan” (HR Abu Ya’la). Dalam satu riwayat oleh Abu Rafi yang
bermaksud: "Aku melihat sendiri Rasulullah mengazankan Hasan bin Ali di
telinganya ketika dia baru dilahirkan oleh Fatimah”. (HR Bukhari dan Muslim)
Inilah kunci pertama untuk
memastikan pendengaran anaknya mendengar kebesaran Allah SWT apabila pertama
kali keluar sebagai khalifah di bumi ini.
ii.
MEMBELAH MULUT (TAHNIK)
Tahnik mulut bayi dengan kurma
atau makanan yang manis merupakan sunnah Nabi SAW.
iii.
PENYUSUAN
Susu ibu merupakan makanan
semula jadi bayi. Ia membina kesihatan dan tenaga. Ia juga makanan rohani dan
akhlak yang memberi kesan kepada seluruh keperibadian anak, mengalirkan aliran
pemikiran dan sikap yang baik ke dalam diri bayi melalui setiap titisan air
susu ibu.
iv.
MEMBERI NAMA
Tanggungjawab ibu bapa juga
ialah memberi nama anak-anak dengan nama yang baik sebagaimana hadis Nabi SAW
yang bermaksud: “Tugas dan tanggungjawab bapa terhadap anaknya ialah
memperelokkan nama anaknya dan juga adabnya” [Hadis Riwayat al-Baihaqi]
v.
BERCUKUR
Menggunting rambut bayi
merupakan sunnah Rasulullah SAW yang dilakukan ketika bayi berusia 7 hari.
Rambut tersebut hendaklah ditimbangkan dengan wang perak yang kemudiannya
disedekahkan kepada fakir miskin mengikut berat timbangan rambut yang digunting
tersebut.
vi.
AQIQAH
Hukum Aqiqah ialah sunat yang
sangat dituntut (muakkad). Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud : “Setiap
anak tergadai dengan aqiqahnya yang disembelih untuknya pada hari ke 7, dicukur
rambutnya dan diberi nama.”[Hadis Riwayat Ahmad]
vii.
BERKHATAN
Berkhatan termasuk sunnah
Rasulullah SAW. Sabda Nabi SAW mengenainya yang bermaksud: “Berkhatan itu sunat
bagi kaum lelaki dan suatu penghormatan kepada kaum wanita.” [Hadis Riwayat At-
Tabrani]
6.2 PERINGKAT PENDIDIKAN KANAK-KANAK MENURUT
RASULULLAH SAW
Rasulullah s.a.w. membahagikan
pendidikan anak selepas kelahiran ini kepada empat tingkatan, iaitu:
1. UMUR 1-7 TAHUN.
Pada masa ini, Rasulullah menyuruh
kita untuk memanjakan, mengasihi dan menyayangi anak dengan kasih yang tidak
bertepi dan sayang yang tidak berbatas. Biarkan anak-anak pada masa ini
bermandikan kasih sayang.
2. UMUR 7-14 TAHUN.
Kanak-kanak lazimnya akan
belajar/mengikut berdasarkan pemerhatian iaitu apa yang dilakukan oleh individu
di sekelilingnya terutama dari ibu bapanya. Pada masa ini Rasulullah
memerintahkan kita untuk mula menanamkan disiplin kepada anak-anak dengan mengajar
dan memerintahkan mereka untuk mengerjakan solat. Bahkan apabila umurnya sudah
10 tahun, seorang ayah boleh memukul anaknya apabila enggan mengerjakan solat.
Rasulullah SAW telah bersabda;
“Suruhlah anak kamu
mengerjakan sembahyang apabila berumur 7 tahun, dan pukullah mereka (jika
mereka enggan) apabila berumur 10 tahun, dan asingkan tempat tidur mereka”. (HR
Ahmad & Ab Daud)
Berdasarkan kajian
pakar-pakar ilmu jiwa anak, pada umur 7-14 tahun ini adalah masa terbaik untuk
menanamkan disiplin dan pembentukan sahsiah seorang anak. Seperti yang
dikatakan oleh Rasulullah dalam hadisnya bahawa setiap anak yang lahir dalam
keadaan suci. Maka, ayah dan ibunyalah yang akan menjadikannya Yahudi, Nasrani
atau Majusi. Pada tahap ini ajarilah dengan sebutan kalimah-kalimah suci Allah
(al-Quran) kerana pada peringkat usia kanak-kanak mereka akan mudah mengingat
apa yang diajar. Diriwayatkan dalam satu hadis Rasulullah SAW bersabda
maksudnya; “Apa yang dipelajari oleh kanak-kanak ialah seperti mengukir sesuatu
pada batu”.
Oleh itu ibu bapa hendaklah:-
a) Menanamkan asas-asas keimanan
b) Berlaku adil terhadap anak-anak dalam memberi kasih sayang,
pendidikan, makanan, tempat tinggal dan sebagainya.
c) Mengasuh anak-anak dengan lemah lembut dan bersopan santun.
d) Mempamerkan akhlak yang mulia dan terpuji.
e) Mengampuni dan mengasihi anak-anak dan lain-lain ahli keluarga
dengan penuh kasih dan sayang.
f) Mendidik anak-anak ke jalan yang diredhai Allah SWT.
g) Menunjukkan teladan yang baik pada anak-anak.
h) Bertanggungjawab mencipta sebuah rumahtangga yang aman bahagia
untuk didiami oleh anak-anak.
i)
Bertanggungjawab memastikan
anak-anak dijaga dengan baik.
j)
Bertanggungjawab memberi
pendidikan dan pelajaran yang berguna dan menghantar mereka ke sekolah-sekolah.
k) Mengajar anak-anak mengerjakan sembahyang, mengaji al-Quran dan
melatih anak-anak berpuasa.
l)
Mengajar anak-anak dengan ilmu
yang dapat menjadi perangsang bagi memperkayakan ilmu Islamnya.
3. UMUR 14-21 TAHUN.
Pada masa ini, orang tua
sudah menukar penanaman disiplin dengan cara yang agak keras kepada cara
rasional. Orang tua perlu mendidik anak dengan cara menjadikannya sahabat dalam
berdiskusi, mengajaknya ikut dalam membincangkan masalah keluarga dan diberikan
satu-satu tanggungjawab dalam hal-hal tertentu di rumah. Hal ini penting agar
anak berasa dirinya punya tanggungjawab dan telah dewasa sehingga perlu
mengambil berat hal-hal dalam keluarga.
Setelah remaja, ajaran-ajaran
agama Islam yang berkaitan dalam bidang syariah, aqidah dan akhlak perlu diajar
secara terperinci kepada anak-anak di peringkat umur begini supaya mereka
mengetahui, memahami dan dapat menghayatinya. Seterusnya perkara-perkara baik
dan betul tersebut dapat diimplementasikan dalam kehidupan mereka sehari-hari.
Dengan demikian mereka tidak akan mudah terpengaruh dengan ajaran-ajaran yang
menyeleweng, amal ibadat dan akhlak mereka akan terpandu dengan betul.
Ibu bapa pada masa kini
dilihat seolah-olah mengambil sikap lepas tangan dan membiarkan anak mereka
melintasi alam remaja berlalu begitu sahaja tanpa mengambil tahu pergolakan
yang dihadapi oleh anak mereka dengan alasan sibuk dengan tugasan di pejabat.
Sebagai ibu bapa, mereka perlu mengetahui bahawa masa remaja ialah masa
peralihan zaman dari alam kanak-kanak menuju ke alam dewasa. Pada masa ini,
anak-anak tidak lagi dianggap kanak-kanak dan tidak juga orang dewasa.
Peralihan zaman alam kanak-kanak menuju alam dewasa adalah suatu masa yang
penting kepada remaja kerana pada masa ini mereka akan menentukan konsep
dirinya atau siapakah diri aku atau suatu proses menentukan konsep jati diri
pada dirinya
4. UMUR LEBIH 21 TAHUN.
Pada masa ini, orang tua
sudah boleh melepaskan anaknya untuk belajar menempuh hidup akan tetapi tetap
melihat perkembangannya dan memberikan nasihat serta peringatan-peringatan
apabila anak tersalah atau terlupa. Dalam kehidupan kita selaku Muslim,
kadang-kadang pendidikan yang diajarkan oleh Rasul itu tidak benar-benar
diamalkan, bahkan ramai yang tidak mengamalkannya sama sekali. Ada orang tua
yang terlalu memanjakan anak sampai berumur 14 tahun dan baru mula
mengajar/menyuruhnya solat pada umur 15 tahun sehingga mereka bukan saja enggan
melakukannya, bahkan marah kepada ibu bapanya apabila disuruh sembahyang.
Apabila seorang anak enggan melaksanakan kewajipannya yang tertinggi, iaitu
solat, maka perintah siapa yang akan dia dengar dan lakukan? Pada hal hakikat
solat mampu mencegah seseorang. untuk tidak melakukan perbuatan keji dan
mungkar.
Dapat disimpulkan bahawa
perbuatan samseng yang dilakukan oleh pelajar muslim di sekolah mereka,
sebenarnya terjadi kerana rapuhnya pendidikan iman dan tidak berperanannya
hikmah solat dalam diri mereka yang berpunca daripada cara mendidik yang salah.
Sebahagian orang tua ada yang menanamkan pendidikan disiplin kepada anak secara
membuta-tuli tanpa melihat umur dan perkembangan kedewasaan anak sehingga anak
berasa dizalimi oleh orang tuanya dari segi hak-hak tertentu. Natijah dari
sikap seperti ini akan menjadikan anak-anak jauh dari orang tua dan menganggap
rumah sebagai penjara, lalu mereka terdorong untuk mencari ketenangan di luar
rumah.
6.3 KURIKULUM INTEGRATIF UNTUK
KANAK-KANAK
Kurikulum integratif mempunyai makna yang
subjektif. Integratif di sini boleh memberi maksud kesepaduan iaitu menekankan
perkembangan individu secara menyeluruh dan bersepadu ke arah melahirkan insan
yang baik berdasarkan kepercayaan, keyakinan serta kepatuhan kepada tuhan.
Dalam konteks Islam, kurikulum pendidikan bagi
seseorang kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan melibatkan segala
pengalaman pembelajaran yang dididedahkan kepada kanak-kanak samada ianya
dirancang ataupun tidak, secara langsung atau tidak langsung yang ditimba oleh
seseorang kanak-kanak sepanjang proses mereka membesar. Kurikulum dan
pengalaman ini sebenarnya merangkumi segala aktiviti dan pengalaman
pembelajaran yang disediakan oleh orang dewasa, segala aktiviti yang ditentu
dan difikirkan oleh kanak-kanak itu sendiri, termasuklah juga bahasa/teknik
berkomunikasi yang diamalkan oleh orang dewasa dan kanak2 menggunakannya dikalangan
rakan sebaya atau orang lain malah segala apa yang mereka boleh lihat dan
dengar dari persekitaran mereka.
Kadang-kala kurikulum ini juga boleh jadi sesuatu
yang tersembunyi, yang tidak dirancang tetapi tanpa disedari kanak-kanak
mempelajarinya. Sebagai contohnya masa atau perhatian yang diberikan oleh
pengasuh atau pendidik kanak-kanak terhadap sesuatu aktiviti mungkin
menyebabkan kanak-kanak merasakan sesuatu perkara itu lebih berfaedah dari yang
lain walaupun hakikatnya tidak begitu. Inilah konsep utama yang perlu difahami.
Masih timbul persoalan dan keraguan di sudut hati
para penyelidik yang membuat kajian, pemerhatian, peka dan prihatin kepada
perkembangan kanak-kanak Islam hari ini. Mengapa ketrampilan, pemikiran,
kewibaan, daya intelek kanak-kanak Islam selalu dikatakan agak ketinggalan ke
belakang jika dibandingkan dengan kanak-kanak di negara-negara barat umpamanya?
Mengapakah anak-anak ini meskipun disemai dengan benih-benih keimanan masih
terjebak dengan gejala sosial yang memalukan? Adakah sesuatu yang tidak kena
dengan kurikulum pendidikan Islam atau mungkin kekeliruan berlaku dari segi
aplikasi? Adakah mungkin kerana ini yang kita katakan kita memerlukan
perubahan? Mungkinkah pendidikan kanak-kanak di peringkat awal berasaskan binaan
kurikulum integratif boleh menjadi salah satu cara penyelesaiannya?
Justeru itu, amat wajar untuk kita meneliti
kembali kurikulum pendidikan anak-anak di peringkat awal usia ini jika generasi
yang mahu kita lahirkan adalah generasi serba boleh, berketrampilan, berwawasan
, tinggi daya keintelektualan dan utuh imannya.
Tiga Aspek kurikulum yang integrative
1. Integratif dari segi kesepaduan maklumat yang disampaikan kepada
kanak-kanak.
Ilmu pengetahuan dan
pengalaman pembelajaran yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak di peringkat
awal usianya perlulah suatu yang komprehensif dan bersepadu bukannya
terpecah-pecah mengikut subjek kerana ini akan menjadikan kanak-kanak menjadi
keliru dan seolah-olah ada ‘batasan’ dalam mendalami sesuatu ilmu atau
pengetahuan yang didedahkan kepada mereka. Sebaliknya, jika pendedahan
pengalaman pembelajaran adalah berasaskan kepada penggarapan aspek perkembangan
dan bersesuaian dengan tahap dan kebolehan kanak-kanak, kanak-kanak akan lebih
kreatif, memiliki daya kemahiran berfikir yang tinggi serta memperolehi
kemahiran meyelesaikan masalah yang dapat membentuk semangat jati diri dan
keyakinan yang tinggi. Pendidik kanak-kanak sepatutnya menggarap potensi kanak-kanak
berasaskan apa yang ia tahu kerana ini menjadikan kanak-kanak lebih berminat
untuk mendalami sesuatu perkara. “Berbicaralah dengan manusia mengikut kadar
kemampuan akalnya” Begitulah pesanan Rasul s.a.w. kepada umatnya.
Integratif dari segi kesepaduan
aspek-aspek perkembangan dan potensi yang digarap di peringkat awal.
Sememangnya pengalaman
pembelajaran seseorang kanak-kanak di peringkat awal usia mampu memberikan
kesan yang positif atau negatif kepada perkembangannya di masa hadapan samada dari
segi kognitif, emosi, sosial dan aspek-aspek perkembangan yang lain bergantung
kepada cara bagaimana kanak-kanak mendapat pendedahan. Kalau dari awal
perkembangan kerohanian dan sosio-emosi mereka dititikberatkan, hasilnya akan
lahirlah anak-anak yang berwibawa, taqwa, cekal hati, tinggi nilai harga diri,
berketrampilan dan mampu menghadapi cabaran masa hadapan. Tetapi sebaliknya
jika pendedahan awal yang mereka dapat hanya menumpu kepada perkembangan
akademik atau satu aspek perkembangan semata-mata, maka akan pincanglah aspek
perkembangan yang lain malah boleh memberi kesan negatif pula kepada
perkembangan personaliti seseorang kanak-kanak. Andai ia digarap dari segi
intelek tetapi emosinya tidak terdidik, maka perkembangan sosialnya juga tidak
mantap dan sudah pastinya ia tidak mampu menjadi pemimpin ummah yang baik pada
masa yang akan datang.
Integratif di sini bererti
kita menyepadukan antara pendekatan barat dan Islam dalam mendidik anak-anak.
Kita ambil apa yang baik dari
barat apa yang boleh dilihat dengan mata kasar tentang amalan-amalan dan
pendekatan-pendekatan mereka mendidik kanak-kanak dan kita sepadukan dengan
pendekatan Islam yang kaya dengan teori dan khazanah ilmu yang berbagai.
Sesuatu program pendidikan awal kanak-kanak ini perlu dibentuk berdasarkan
pandangan dan pendekatan integratif dan bersepadu gabungan Islam , Barat dan
Timur.
Falsafah pendiddikan awal
kanak-kanak yang berteraskan kepada pendekatan integratif tersebut jika
diteliti secara mendalam adalah didasarkan kepada konsep-konsep berikut yang
disepadukan antara dua pandangan:
i.
Pembinaan akhlaq dan pembentukan
sahsiah
ii.
Bermain adalah tugas utama
kanak-kanak
iii.
Kanak-kanak adalah individu yang
unik dan berbeza antara satu sama lain.
iv.
Rangsangan neurologi & deria melalui
penglibatan yang aktif dalam setiap aktiviti.
v.
Memberi kebebasan dan ruang kepada
kanak-kanak bagi mengenal pasti apa yang mereka mahu dan mampu lakukan.
vi.
Memenuhi keseimbangan keperluan
rohani, fisiologi, psikologi dan pembesaran fizikal kanak-kanak.
vii.
Persekitaran yang kondusif, ceria
dan selamat
viii.
Keperihatinan terhadap
persekitaran dan penyediaan pemakanan yang sihat dan bersih.
ix.
Menghormati kepelbagaian dan
hak-hak yang sama rata
6.4 MENERAPKAN NILAI MURNI DALAM DIRI ANAK
Ibu bapa hendaklah sentiasa
menyuruh anak-anak mereka bersifat dengan sifat yang mulia dan murni iaitu
sifat-sifat mahmudah. Mereka juga mesti melarang anak-anak dari melakukan
perkara-perkara keji dan tidak elok iaitu sifat-sifat mazmumah.
Oleh yang yang demikian, ibu
bapa mestilah terlebih dahulu memiliki sifat-sifat mahmudah dan kemudian
hendaklah diterapkan kepada anak-anak mereka. Kita sebagai ibubapa perlu
bersabar dan tanpa jemu berusaha untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri
anak-anak seperti berikut:-
i.
Mendidik anak supaya taat dan
menghormati kedua ibu bapanya dengan menimbulkan kesedaran kepada mereka bahawa
pengorbanan ibu bapa terhadapnya amat besar dan mereka perlu memahami dan
menghormati kedua-duanya.
ii.
Mengajar anak supaya taat dan beradab
kepada guru dan orang lebih tua daripadanya. Mereka perlu disedarkan bahawa
guru adalah orang bertanggungjawab mendidik dan menyampaikan ilmu, manakala
orang lebih tua adalah orang lebih berpengalaman daripadanya.
iii.
Mengajar anak bercakap atau bergaul
dengan baik iaitu dengan melatih mereka supaya bercakap benar, sopan santun dan
mengucapkan kata yang baik. Ini kerana, kanak-kanak begitu sensitif dan mudah
terikut-ikut terhadap apa yang didengarnya.
iv.
Mendidik anak adab bergaul dengan
rakan. Mereka harus diingatkan supaya tidak meninggi diri dan jangan menyakiti
atau mengambil hak orang lain.
v.
Mengajar anak akan adab makan dan
minum yang baik dan mengelakkan sikap tidak sopan sebaliknya mereka perlu
dilatih dengan adab makan seperti mencuci tangan, duduk dengan sopan serta
berdoa sebelum dan selepas makan.
vi.
Mengajar mereka dengan adab
berpakaian yang bertujuan menutup aurat dan bukan untuk menunjuk-nunjuk kepada
orang lain.
vii.
Mengajar adab tidur dan bangun
dari tidur iaitu sebaik-baiknya mengadap kiblat, membersihkan diri sebelum
tidur dan membaca doa sebelum/selepas bangun tidur.
viii.
Mengajar anak adab masuk dan
keluar tandas iaitu cara membuang air dan cara masuk ke dalam tandas seperti
membaca doa, membelakangkan kiblat dan sebagainya.
7.0 SUMBANGAN PARA ILMUAN
ISLAM
Mungkin selama ini ramai yang beranggapan
teori-teori dan ilmu-ilmu berkaitan perkembangan kanak-kanak, pendidikan
keibubapaan dan pendekatan moden mendidik anak khasnya di peringkat awal usia
dipelopori oleh barat & tidak releven dengan Islam. Hakikatnya
pendekatan-pendekatan moden yang kita lihat pada hari ini sebenarnya dipelopori
oleh para ilmuan Islam di zaman kegemilangannya suatu ketika dahulu.
Kita sering menyebut tentang Jean Piaget dan
teori Perkembangan kognitif tetapi kita melupakan Ibnu Sina yang membicarakan
hal yang sama berkurun-kurun lamanya sebelumnya. Dewasa ini kita sibuk
membicarakan tentang Emotional Intelligent yang dipelopori oleh Howard Gadgner
tanpa kita sedari Ibnu Khaldun telah berabad lamanya mengupas isu tersebut di
dalam kitabnya almuqaddimah. Kita mula menyuarakan tentang kepentingan memahami
perbezaan perkembangan individu di kalangan kanak-kanak tanpa merujuk penulisan
Al-Ghazali dan hujah-hujahnya tentang hal tersebut dalam membicarakan isu-isu
perkembangan sosio-emosi kanak-kanak. Ibnu Sina misalnya telah membincangkan
kepentingan hygiene dan penjagaan kesihatan kerana dua faktor ini adalah asas
kepada pembentukan fizikal yang sihat. Kemampuan kanak-kanak mendapatkan
pengalaman adalah berbeza dari satu individu dengan individu yang lain telah
diketengahkan oleh seorang lagi ilmuan hebat islam iaitu Ibn Khaldun. Manakala
Ibn Jamaah pula mengupas tanggungjawab pendidik dari segi memahami tingkahlaku
kanak-kanak dan menanganinya melalui kaedah pengukuhan.
Di sana- sini pendidik kanak-kanak begitu sibuk
memperkatakan mengenai kepentingan bermain melalui belajar sebagai satu
pendekatan kurikulum yang paling bersesuaian dengan kanak-kanak kerana ia
merujuk kepada ciri-ciri semulajadi kanak-kanak yang sememangnya suka bermain.
Nama Froebel, Susan Isaacs, Mc Millan dan pelbagai lagi teori mengenai
permainan dari perspektif barat disebut-sebut dan dijulang. Sebenarnya, banyak
hadis-hadis yang menyebut mengenai kepentingan bermain dalam kehidupan kanak-kanak
yang menunjukkan kesesuaiannya sebagai pendekatan utama perkembangan
pembelajaran kanak-kanak. Namun, hadis-hadis sebegini seperti tidak diberikan
perhatian dan jarang dikupas. Lalu apabila umat Islam berbicara mengenai
perkembangan kanak-kanak sudah pastinya penulisan sarjana barat menjadi rujukan
tanpa menyedari atau mungkin alpa, telah ada usaha sebegini dibukukan dan
dihurai oleh ulamak terdahulu sebagai contohnya Ibn Qayyim Al-Jauziah dalam
kitabnya “tuhfatul maudud fi ahkam almaulud”.
Umat Islam yang mempelajari ilmu psikologi
pendidikan pada hari ini sudah pastinya arif tentang teori-teori yang
dikemukakan oleh Behaviourisme, Social Learning Theory dan sebagainya yang
menekankan kanak-kanak belajar melalui pemerhatian dan mudah meniru apa saja
perlakuan. Untuk mengekalkan tingkahlaku baik yang ditunjukkan oleh seseorang
kanak-kanak, maka perlulah mereka selalu diberi pengukuhan. Tokoh ilmuan Islam
Imam Al-Ghazali yang terlebih awal mengupas begitu terperinci persoalan
sebegini dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin dan mengemukakan lima aspek utama dalam
pendidikan kanak-kanak khasnya di peringkat awal perkembangan: Qudwah (Role
model), Mulahazah wa mutaba’ah (Observation and imitation), i’tiyad
(kelaziman/kebiasaan),isu Al-thawab wa al iqab (Reward and punishment) dan
nasihat (advice) sebagai penyelesaian. Beliau begitu menekankan peri pentingnya
ibubapa dan pendidik perlu menjadi role model atau ikutan yang baik kerana
sikap atau tingkahlaku yang ditunjukkan oleh ibubapa sebenarnya adalah kurikulum
dalam pendidikan seorang kanak-kanak. Bersesuaian dengan sifat semulajadi
kanak-kanak yang suka meniru perilaku atau apa sahaja yang ada di hadapannya,
dan seperti yang ditegaskan oleh Imam Al Ghazali, kanak-kanak belajar melaui
pemerhatian yang jika dibiarkan ia akan menjadi kebiasaan atau I’tiyad dan
sukarlah untuk dibentuk. Dalam menangani masalah ini ibubapa atau pendidik di
beri pilihan antara memberi pengukuhan dan ganjaran baik atau hukuman. Jalan
yang paling terbaik ialah dengan memberi nasihat yang pendekatannya adalah
“mendidik jiwa dengan jiwa atau alhal bilhal.” Seperti yang tertera dalam kitab
karangannya “ayyuhaal-walad”.
Hakikatnya, dalam Islam telah nyata dan terserlah
segala teorinya namun dari segi aplikasi, selalunya sarjana barat akan cuba
melaksanakan dengan mencubanya melalui kajian-kajian ilmiah dan melakukan
eksperimen yang lebih mendalam lalu setelah yakin dengan kesannya yang efektif
lalu mereka mendabik dada mengatakan inilah teori baru. Realitinya, inilah
punca kemunduran umat Islam dalam dunia globalisasi. Tidak ada yang kurang dan
tidak ada cacat celanya agama Islam, tetapi sikap umatnya yang perlu diubah.
Sungguh benarlah firman Allah;“Sesungguhnya Allah
tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka sendiri mengubahnya...”
8.0 KESIMPULAN
Perkataan kanak-kanak dalam bahasa arabnya
disebut sebagai al-tifl (١لطفل)
yang berasal dari perkataan tafula (طفل)
yang membawa maksud sesuatu yang lembut, mudah rosak dan sensitif. Di sebalik
maksud tersebut ia memberi pengertian bahawa seseorang kanak-kanak itu perlu
dijaga, diasuh dan dididik dengan rapi, teliti dan sempurna memandangkan sifat
semulajadinya yang mudah terdedah kepada bahaya persekitaran bukan sahaja
dibimbangi kerosakan yang akan menimpa fizikal dan tubuh badan malah
aspek-aspek yang lain juga amat perlu diberikan perhatian. Oleh itu ibu bapa
amat perlu memberi didikan syariat yang sempurna kepada anak-anak mereka seawal
mungkin bermula dari dalam kandungan ibu lagi seperti kata pepatah “Melentur
Buluh Biar Dari Rebungnya” agar anak-anak dapat hidup bahagia, berjaya dan
membesar dalam keadaan sempurna tanpa terpengaruh dengan gejala-gejala negatif
yang boleh merosakkan hidup mereka.
Imam Al-Ghazali pernah menyebut, “sesungguhnya
anak-anak kita adalah permata”. Dalam membicarakan soal pendidikan anak-anak
ini suatu perkara yang perlu kita fahami bahawa mendidik adalah suatu kesenian
yang datangnya dari jiwa yang halus dan pemikiran yang kreatif. Suatu yang
kreatif dan seni tidak akan lahir dari jiwa yang keras dan peribadi yang kasar
dicetuskan oleh emosi marah dan hilang pertimbangan akal. Kasih sayang adalah
elemen paling utama dalam proses mendidik. Teguran dan nasihat yang lahir dari
cetusan kasih sayang akan mencairkan hati yang keras sebaliknya kekasaran dan
penonjolan ammarah akan membekukan jiwa yang lembut.
Apatah lagi bila yang di hadapan kita itu adalah
kanak-kanak yang putih bersih, yang akan belajar apa sahaja yang ada di
persekitarannya melalui pemerhatian, yang akan meniru dari contoh yang
ditonjolkan seterusnya mengaplikasikan hasil pembelajaran melalui kebiasaan.
Ini juga antara tajdid yang perlu dilakukan oleh
umat Islam dalam mendidik anak-anak. Kembali dan rujuklah amalan Rasulullah
s.a.w, para sahabat dan cendikiawan Islam dalam membentuk dan mendidik
generasi. Pendidikan anak-anak di peringkat awal usia yang berlandaskan
pendekatan integratif seperti yang disarankan perlu dilaksanakan. Di dalam
kitabnya Al Muqaddimah, Ibnu Khaldun mengingatkan para pendidik melalui
seruannya:
“…Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik
memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik lebih-lebih lagi bagi
kanak-kanak. Barangsiapa yang ditarbiah dengan cara kekerasan dan paksaan, maka
akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang
kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat…”
9.0 PENUTUP
Hakikatnya samada di barat atau di timur, semua
manusia mengharapkan anak mereka ke arah pembinaan syakhsiah mulia dan
berkeperibadian tinggi serta berhemah dalam menghadapi arus globalisasi yang
semakin mencabar.
Ibu bapa tidak boleh menyalahkan kerajaan,
masyarakat dan sekolah semata-mata sebagai helah membela diri apabila anak
menjadi jahat tabiatnya. Ibu bapa perlu menyalahkan diri sendiri kerana ini
adalah langkah positif untuk menilai semula peranannya bagaimana untuk menjadi
ibu bapa yang cemerlang.
Betapa beruntungnya kedua-dua ibu bapa yang
mempunyai anak-anak soleh yang dapat membahagiakan hidup mereka. Bukan sahaja
hidup di dunia bahkan di akhirat juga. Doa daripada anak-anak yang soleh tetap
tidak terputus kepada ibu dan bapa mereka sekalipun kedua-duanya telah
meninggal dunia sebagaimana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apabila
meninggal dunia seseorang anak Adam, maka terputuslah semua amalannya kecuali
tiga perkara iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang
sentiasa mendoakan kedua-dua ibu bapanya”. (HR al-Bukhari)
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment